Kota Samarahan, 25 September: Premier Sarawak meluluskan peruntukan sejumlah RM17 Juta untuk pembinaan Gudang baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di Kota Samarahan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, projek tersebut dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2025 dan dijangka siap menjelang suku keempat tahun 2026.
Katanya, gudang seluas 2.84 ekar itu merupakan bangunan berasingan sebagai pusat simpanan sejuk beku bagi hasil produk ikan dan buah-buahan.
Tambah beliau, ia juga akan mempunyai kemudahan stor penyimpanan input pertanian seperti baja, produk bahan kimia, jentera pertanian, makanan dan ternakan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPND di Kota Samarahan, hari ini.
Terdahulu, Premier Sarawak, hari ini telah merasmikan bangunan baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) yang terletak di Kota Samarahan.
Bangunan PPNS tersebut akan menjadi sebuah pusat sehenti yang holistik dalam memberi perkhidmatan kepada golongan petani dari segi perolehan input pertanian, pemasaran produk serta khidmat latihan dan kursus teknikal.
#BilikBeritaCats #Catsfm

BILIK BERITA CATS

25 September 2024 | 12:07 PM