KUCHING, 25 Sept: Dua lelaki tempatan diberkas berhubung kes kematian seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Jalan Multipass Link, Song, Kapit semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata kedua-dua suspek yang berusia 31 tahun itu ditangkap hasil daripada siasatan dan maklumat orang ramai.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching hari ini, beliau berkata satu laras senapang patah dan peluru jenis penabur turut dirampas.
Katanya, kedua-dua suspek didapati menjalankan aktiviti memburu secara haram dan salah seorang suspek telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar.
Ujarnya lagi, senapang yang diguna adalah milik bapa suspek yang mempunyai lesen yang sah.
Dato Mancha memberitahu permohonan tahanan reman dibuat ke atas suspek di mahkamah hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi Isnin, seorang anggota tentera berpangkat Koperal berusia 29 tahun terkorban selepas terkena tembakan rambang di bahagian pinggang dan paha.
Anggota tentera berasal dari Pakan, Julau itu disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Kapit jam 7.43 pagi hari sama.
Hasil bedah siasat ke atas mayat telah mengesahkan punca kematian adalah luka tembakan di bahagian penting badan mangsa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

25 September 2024 | 12:04 PM