Kuching, 27 Ogos: Beberapa makanan tradisi Sarawak dijangka akan diwartakan sebagai makanan gastronomi pada Festival Gastronomi Nyamai Sarawak edisi Hari Malaysia, September depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata pewartaan makanan tersebut merupakan antara acara yang diharapkan pada festival itu nanti.
Katanya, ia merupakan kerjasama bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan masih menunggu keputusan Menteri MTCP untuk merasmikan pewartaan tersebut.
Tambah beliau, Sarawak mempunyai banyak makanan dan produk tempatan yang boleh diwartakan di bawah Sarawak Best dan Warisan sebagai makanan gastronomi.
Beliau, berkata demikian dalam sidang media Festival berkenaan di Hotel Waterfront Kuching, hari ini.
Terdahulu, Festival Nyamai Gastronomi Sarawak 2024 edisi Hari Malaysia akan berlangsung pada 14 dan 15 September depan di Kampung Budaya Sarawak.
Pengerusi Penganjur Festival tersebut, Gordon Chung Pei Nan berkata, festival tersebut mensasarkan kehadiran seramai 5-10 ribu pengunjung sepanjang 2 hari penganjurannya.
Tambah beliau, sebanyak 150 vendor akan mengambil bahagian dalam festival itu nanti yang melibatkan vendor makanan tradisional, kraftangan dan pameran.
#BilikBeritaCats #Catsfm