BETONG, 11 Julai: Kerajaan Sarawak tidak akan menanggung kos pengangkutan bagi atlet dari negeri-negeri lain yang bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata ia merupakan tanggungjawab negeri-negeri terbabit untuk membiayai kos tersebut.
Bercakap kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengadakan lawatan ke venue angkat berat SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan hari ini, beliau berkata Sarawak sebelum ini tidak pernah meminta negeri berkenaan untuk membiayai apa-apa kos termasuk pengangkutan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu ke SUKMA.
Sumber: UKAS