KUCHING, 10 Julai: Sarawak menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 70 pingat emas dalam misi memburu gelaran juara kali keempat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis Sarawak mampu mencapai sasaran itu berdasarkan maklum balas yang diterima semasa sesi taklimat bersama Penolong Ketua Kontinjen (ACDM).
“Ini berdasarkan maklum balas yang diterima hasil daripada mesyuarat mengenai prestasi kontinjen…satu persatu untuk setiap jenis sukan bersama dengan semua ACDM dan jurulatih.
“Saya rasa kita (Sarawak) boleh capai sasaran itu, kalau boleh dapat 70 emas kemungkinan boleh dapat juara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata demikian pada sesi sesi temu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Sumber: BERNAMA