KUCHING, 29 Mei: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Gawai 2024 di seluruh Sarawak dilaksanakan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Jun depan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata ia merupakan langkah kerajaan bagi menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang.
Katanya, lapan barang diwartakan di bawah skim tersebut iaitu ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih China, kubis bulat import (Indonesia dan China), cili kering, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Beliau berkata kementerian telah melaksanakan libat urus dengan pelbagai pihak antaranya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta wakil-wakil industri agar masyarakat di Sarawak dapat menyambut perayaan Gawai dengan tenang, senang dan tiada masalah bekalan.
Datuk Azman berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan SHMMP Hari Gawai 2024 di sebuah pasar raya di Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini