KUCHING, 27 Mei: Pengamal media sambilan seluruh negara akan menerima caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh satu tahun mulai 1 Julai ini, demikian diumum Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menampung sepenuhnya caruman itu.
Sehubungan itu beliau meminta semua organisasi media berdaftar mengemas kini data masing-masing bagi memudahkan bantuan berkenaan disalurkan oleh kementerian.
“Berdasarkan data Jabatan Penerangan 565 pengamal media yang berdaftar adalah bertaraf sambilan ataupun stringers, dan Perkeso mengesahkan 538 daripadanya tiada caruman Perkeso, namun layak didaftarkan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini petang ini.
Kemuncak sambutan HAWANA 2024 yang bertema “Etika Teras Kewartawanan Mapan” dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini